15/11/2017

Hanya 54% Hadir CEC - Petanda Kejatuhan Pakatan Harapan?



Selangor Press ada memberi maklumat terperinci tentang CEC DAP yang kehadiranya merosot. Pada tahun 2012 kehadiran wakil pada pemilihan Jawatankuasa Pusat Eksekutif DAP (CEC) adalah berjumlah 2576, pada tahun 2013 jumlah perwakilan merosot kepada 1725, manakala pada 12 Nov 2017 yang lalu, jumlah perwakilan terus merosot kepada 1356.


Kehadiran yang merosot bukanlah merujuk kepada jumlah ahli yang layak mengundi, sebaliknya adalah jumlah ahli yang hadir, sedangkan jumlah ahli yang layak mengundi pada pemilihan 12 Nov itu ialah 2514. Dengan itu jumlah yang hadir mengundi hanyalah 53.93 peratus.

Maka timbullah persoalan mengapakah 46.07 peratus ahli yang layak mengundi tidak hadir. Jika dirujuk kepada peraturan lazim sesuatu mesyuarat agung atau mesyuarat pemilihan jawatankuasa, kehadiran ahli hendaklah sekurang-kurangnya 1/2 daripada ahli yang layak mengundi. Maka jelaslah CEC DAP telah memenuhi syarat tersebut hanya dengan kelebihan tipis 3.93 peratus.

Namun timbul pula persoalan apakah berlaku sabotaj daripada ahli-ahli DAP terhadap kepimpinan tertinggi parti untuk menggagalkan pemilihan CEC yang dilihat sebagai parti yang dikuasai oleh Dinasti Lim itu?

Dalam pada itu, keputusan pemilihan CEC telah menunjukkan bahawa populariti Lim Kit Siang telah jauh merosot dan hampir dikalahkan oleh Gobind Singh Deo apabila Lim menang dengan hanya SATU undi iatu 1199 manakala Gobind memperolehi 1198 undi. Perbezaan SATU undi pastinya mempamerkan kedudukan Pengerusi yang goyah dan amat tidak stabil.

Dalam kelompok eksekutif CEC yang dikuasai oleh kaum Cina itu hanya terdapat dua wakil terpilih daripada kaum India, seorang daripada kaum Punjabi (Singh) dan seorang daripada kaum Melayu. Amat aneh apabila parti cauvinis Cina ini melaung-laungkan flagship-nya sebagai parti berbilang kaum.

Malah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, DAP telah meletakkan calon wanita Melayu untuk menunjukkan sifat partinya yang berbilang kaum, tetapi pemilihan CEC 12 Nov lalu membuktikan sebaliknya; bagaikan langit dan bumi.

Jelaslah bahawa ahli-ahli parti yang dikuasai oleh cauvinis Cina ini, telah menunjukkan protes senyap atau boleh ditafsirkan sebagai ‘undercurrent discontenment’ (gelombang bantahan dalaman) dalam kalangan ahli parti.

Sekiranya dibedah isu kecairan populariti Pengerusi Parti, Lim Kit Siang yang hanya memenangi SATU undi sahaja berbanding Gobind, maka kita akan dapat melihat bahawa isu yang menjadi tunggak kehilangan populariti Lim itu adalah sokongan beliau kepada Tun Mahathir.


Gobind tidak pernah secara terbuka menerima kehadiran Tun Mahathir dalam kelompok pembangkang, apatah lagi menjalin kerjasama dengannya dalam barisan pembangkang sebagaimana diterima oleh dinasti Lim.

Mungkin ada logik juga sekiranya sebagaimana yang didakwa oleh Raja Petra Kamaruddin, bahawa Lim telah disogok dengan sekian banyaknya wang sebagai tukaran untuk menerima Tun Mahathir sebagai rakan pembangkang. Jika tidak masakan orang yang menyumbatnya ke dalam penjara selama 17 bulan di bawah ISA berikutan Operasi Lalang, boleh diterima hanya dengan kata ‘maaf’ sahaja.

  

Sebaliknya dalam kalangan rakan-rakannya, Gobind dikatakan berpendirian tidak akan memaafkan Tun Mahathir terhadap penganiayaan yang telah dilakukannya terhadap mendiang ayahnya Karpal Singh.

Ramai pula dalam kalangan ahli parti yang menyokong Gobind dan menentang kerjasama dinasti Lim dengan Tun. Jika merujuk pada undercurrent discontenment itu, pastinya ramai ahli, meskipun dalam kalangan kaum Cina, mahu Gobind menamatkan kuasa dinasti Lim dalam DAP.

Isu lain yang dapat kita lihat daripada CEC DAP ialah bungkah-bungkah percaturan politik yang memberi amaran bahawa ramai ahli-ahli DAP (46.07 peratus) tidak lagi menyokong kepimpinan tertinggi dinasti Lim. Golongan 46.07 peratus ini nanti akan melolong pula kepada RoS bahawa mereka tidak menerima notis panggilan mesyuarat dan sayugia, lagi sekali CEC DAP adalah tidak sah!

Dengan itu juga, lagi sekali CEC DAP 2017 akan dipersepsikan sebagai haram dan tidak mengikut lunas perundang-undangan sekiranya notis panggilan pemilihan CEC tersebut telah sengaja mengabaikan 46.09 peratus ahli yang layak mengundi.

Pilihan raya kali ke-14 akan berlangsung tidak lama lagi, setidak-tidaknya pada tahun hadapan. Pastinya kepimpinan DAP akan turun padang dan merayu para pengundi supaya keluar mengundi agar kekalahan DAP yang berlaku di Teluk Intan tidak berulang. Namun bagaimanakah mereka akan keluar mengundi untuk menyokong calon pilihan raya DAP sedang dalam pemilihan CEC sendiri wakil-wakil cawangan tidak hadir untuk mengundi dalam CEC?

Sebagai kesimpulan awal kita boleh meramalkan bahawa tiang yang membina Pakatan Harapan amat goyah dan jongkang-jongkit ibarat perahu yang olang-oleng. Kegoyahan mereka bukan sahaja terlihat pada DAP malah dalam PPBM juga bergoyang dengan Armadanya yang dikatakan tidak berdaftar dengan RoS.

Malah dalam isu lain, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq telah dengan jelasnya menentang Oktoberfest- Pesta Arak yang asalnya diraikan di negara Jerman. Sedangkan kata Guan Eng, “Pelampau mungkin berjaya mengharamkan Oktoberfest di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi mereka tidak akan berjaya di Pulau Pinang!”

Apakah Syed Saddiq itu pelampau yang dimaksudkan Guan Eng? Bagi Syed Saddiq pula kejayaan Oktoberfest akan melarat pula nanti kepada perayaan Gay dan Lesbian.

Itu pun belum lagi kita bedah gelagat Rafizi Ramli dalam PKR yang sering membangkitkan isu kontroversial. Sebagaimana diluahkan oleh Latheefa Koya dalam kes Langkah Kajang, “Saya mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara sebenar tentang Rafizi, perkara di mana rakyat Malaysia masih belum mengetahuinya. Budak ini geng ponorogo penipu.”

Dengan itu, apakah kapal Pakatan Harapan yang berolang-oleng itu boleh selamat menerobos gelombang Pilihan Raya ke-14 nanti? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

K7L : Hmm..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk